Shaid Rosli menyerahkan sijil penghargaan kepada Pengurus Kanan Jualan dan Pemasaran KLK Land Sdn Bhd, Tan Aik Yee sebagai simbolik perasmian Projek Sekolah Angkat, program kebajikan KLK Land bersama Sekolah Kebangsaan Desa Aman, Sungai Buloh. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
ADNAGENDAJENAYAHSELANGOR

SK Desa Aman sekolah angkat KLK Land

KUALA SELANGOR, 27 DIS: Prihatin dengan kekurangan infrastruktur di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Aman, pemaju hartanah terkenal, Kuala Lumpur Kepong (KLK) Land Sdn Bhd menjadikan institusi pendidikan itu sebagai sekolah angkat.

Pengurus Kanan Jualan dan Pemasarannya, Eric Tan Aik Yee berkata, projek itu adalah sebahagian daripada Program Tanggungjawab Sosial (CSR) KLK Land kepada pendidikan anak-anak di sekitar Kuala Selangor.

“Sehingga kini, kami sumbangkan beberapa kemudahan termasuk meja, kerusi dan papan putih yang dianggarkan bernilai RM20,000.

“Bantuan ini akan diteruskan supaya murid-murid di SK Desa Aman belajar dengan lebih selesa sekali gus dapat meningkatkan lagi pencapaian tidak kira dalam bidang akademik mahupun kokurikulum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perasmian Projek CSR Sekolah Angkat KLK Land bertempat di SK Desa Aman, di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri Jeram, Mohd Shaid Rosli, Guru Besar, Shahidan Said, Pengerusi Persatuan Guru dan Ibu Bapa, Mohd Razmi Khalid dan Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor Zon 6C, Mariana Abdullah.

Sementara itu Mohd Shaid berkata, beliau memuji langkah KLK Land Sdn Bhd yang dianggap sebagai langkah terpuji daripada sebuah syarikat pembinaan terkemuka.

“Semoga inisiatif ini menjadi contoh kepada syarikat pemaju lain bahawa keuntungan bukanlah segala-galanya, sebaliknya sumbangan kepada komuniti itu lebih bermakna.

“Saya berharap supaya pemaju lain di sekitar kawasan Puncak Alam juga akan mengikuti langkah ini,” katanya.


Pengarang :