AGENDANASIONAL

Skim Sukarela KWSP dilaksana suku ketiga 2020

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Skim Sukarela di bawah kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bakal dilaksanakan pada suku ketiga tahun depan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah.

Beliau berkata, skim bersifat sukarela itu membolehkan suami mencarum dua peratus daripada 11 peratus syer pekerja kepada isteri yang bekerja atau suri rumah.

“Semalam Dewan Negara telah meluluskan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (Pindaan) 2019. Kita perkenalkan satu skim sukarela bagi suami memberikan secara sukarela dua peratus daripada 11 peratus potongan yang dibuat daripada syer pekerja (suami) itu kepada isterinya.

“Kriteria skim ini bagi suami, mestilah bekerja dan mempunyai majikan, warganegara Malaysia. Ia juga terbuka kepada suami bukan warganegara yang status kerakyatan isteri mereka adalah warganegara,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, kriteria isteri pula mesti warganegara dan mereka bekerja atau suri rumah.

Amiruddin berkata, skim tersebut merupakan pengiktirafan kepada wanita sebagai jaminan masa depan mereka.

“Ia akan berhenti apabila terjadi pembubaran perkahwinan atau berlaku kematian. Kita berharap skim ini akan dapat sambutan yang baik daripada para suami yang budiman serta bertanggungjawab demi memberi jaminan masa depan kepada isteri itu nanti,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :