Sharifah Nur Aliyah menerima sijil daripada wakil HIJRAH ketika Kembara Sukses HIJRAH Selangor pada 19 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

‘Success Story HIJRAH’ cetus inspirasi

PETALING JAYA, 19 DIS: Pengasas Legasi Ning Salmah, Sharifah Nur Aliyah Barakbah tidak menyangka terpilih sebagai salah seorang peserta ‘Success Story HIJRAH 2019’ ekoran pencapaian cemerlangnya.

Pengusaha produk penjagaan ibu dan anak berusia 31 tahun itu berkata pengiktirafan oleh Yayasan Hijrah Selangor (HIJRAH) sekali gus memberi inspirasi kepadanya untuk terus maju.

“Saya tidak sangka terpilih sebagai peserta walaupun baharu sahaja membuat pinjaman bersama HIJRAH pada 2017. Alhamdulillah, selepas mendapat pinjaman pertama saya berjaya menghasilkan lima produk herba berbanding dua sebelum ini.

“Terima kasih HIJRAH kerana membantu memberi pinjaman untuk membolehkan saya mengembangkan lagi perniagaan ini,” katanya yang berniaga sejak 2016.

Mengulas perancangan masa hadapan, beliau mahu memfokuskan untuk membantu usahawan lain dan meluaskan perniagaan melalui ejen serta stokis Legasi Ning Salmah.

Usahawan servis komputer, Nur Syaheeda Zakariya, 34, yang turut dipilih sebagai peserta berterima kasih kepada HIJRAH atas bantuan dan tunjuk ajar yang diberikan.

“Kakitangan HIJRSH sangat membantu daripada sudut bimbingan, malah komunikasi dengan mereka juga mudah,” katanya.

HIJRAH melabuhkan tirai kembara suksesnya yang menyaksikan 13 usahawan dipilih sebagai peserta.

 


Pengarang :