Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar.
AGENDA NASIONAL

Tiada maklumat rasmi Malaysia penyumbang sampah plastik terbesar di India

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak pernah menerima makluman rasmi daripada mana-mana pihak berhubung dakwaan kononnya Malaysia penyumbang terbesar pembuangan sampah plastik di Pulau Great Nicobar, India, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar ketika menjawab bagi pihak KPKT berkata, sebarang kenyataan perlulah daripada sumber yang sahih dengan data kajian atau peyelidikan yang terperinci.

Katanya, berdasarkan semakan yang dibuat kementerian itu melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JSPN) mendapati dakwaan tersebut hanyalah berdasarkan kepada kajian yang dibuat oleh Berhampur Universiti, India bertajuk ‘Foreign Origin Plastic Litter Predominate In Great Nicobar Island, A Biosphere Reserve’.

“Kajian itu menyatakan Malaysia disenaraikan sebagai negara penyumbang terbesar pencemaran plastik berdasarkan bilangan botol plastik yang ditemui di Pulau Great Nicobar, India iaitu 40.5 peratus diikuti Indonesia (23.9 peratus) dan Thailand (16.3 peratus).

“Kajian tersebut berpendapat antara penyebab utama yang menyebabkan pencemaran di Pulau Great Nicobar, India adalah kesan pergerakan arus kerana jarak Malaysia, Indonesia dan Thailand yang berdekatan dengan pulau tersebut,” katanya pada sesi pertanyaan jawab lisan.

Beliau menjawab soalan Senator Husain Awang yang ingin tahu tindakan KPKT berikutan Malaysia didakwa sebagai penyumbang terbesar pembuangan sampah plastik di pulau berkenaan.

Mahfuz berkata, antara penyebab lain adalah pengurusan sisa pepejal yang tidak teratur akibat aktiviti perikanan dan aktiviti kapal dagang yang belayar.

– BERNAMA


Pengarang :