AGENSISELANGOR

Tunai zakat, menang telefon bimbit

SHAH ALAM, 18 DIS: Orang ramai berpeluang memenangi dua hadiah telefon bimbit dan 25 pengecas mudah alih (powerbank) apabila menunaikan zakat di Lembaga Zakat Selangor (LZS), sepanjang bulan ini.

LZS dalam kenyataan berkata peluang itu diberi melalui e-cabutan ketika berada di kaunter bayaran zakat, kemudian mereka perlu mengimbas ‘QR kod’ dan menjawab dua soalan mudah.

“Bagi memudahkan orang ramai, semua 27 cawangan LZS dibuka tujuh hari seminggu termasuk Sabtu, Ahad dan cuti umum sepanjang Disember ini.

“Waktu operasi bagi semua cawangan bermula 8.30 pagi hingga 4.30 petang pada hari bekerja manakala hujung minggu dan cuti umum, cawangan kami dibuka dari 9 pagi hingga 3 petang,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga memaklumkan, bagi cawangan Zakat di UTC Shah Alam, waktu urusan bermula dari 1 petang hingga 10 malam pada hari bekerja.

Manakala pada Jumaat, waktu urusan bermula dari 2.45 petang hingga 10 malam, sementara Sabtu dan Ahad waktu urusan bermula 8 pagi hingga 1 petang dan ditutup pada cuti umum.

“Inisiatif itu bagi memudahkan sahabat zakat menunaikan kewajipan sebelum berakhir tahun 2019.

“Selain taksiran zakat harta, orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan rundingan, bayaran serta urusan permohonan agihan zakat.

“Pada masa sama, kami turut menyediakan perkhidmatan bayaran melalui kad kredit Islamik dan debit,” katanya.


Pengarang :