PBTSELANGOR

Tunggakan cukai taksiran, MPS keluar 27,492 waran tahanan

SHAH ALAM, 31 DIS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengeluarkan 27,492 waran tahanan bagi pemilik premis yang mempunyai tunggakan cukai taksiran RM200 dan ke atas sehingga 30 November lalu.

Yang Dipertuanya, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata, daripada jumlah waran itu, sebanyak 15,740 sudah dihantar kepada pemilik premis masing-masing.

“Bagi pemilik atau penduduk yang masih gagal menjelaskan tunggakan cukai taksiran selepas tujuh hari waran diserahkan, tindakan sitaan harta alih di dalam premis berkenaan akan dilaksanakan.

“Operasi ini akan dijalankan setiap minggu dan kita akan menyita harta alih di dalam premis yang menyamai jumlah tunggakan cukai taksiran premis terbabit,” katanya kepada SelangorKini.

Shamsul berkata, pihaknya juga akan mengambil tindakan menampal Borang H selaras dengan Seksyen 151 Akta Kerajaan Tempatan 1976 bagi membolehkan lelongan pegangan tanah atau premis kosong dibuat sekiranya tiada bayaran diterima.

Katanya, pihak MPS mengeluarkan sebanyak 5,207 borang dan 2,550 daripadanya sudah ditampal setakat ini.

“Orang ramai diingatkan supaya menjelaskan tunggakan cukai taksiran bagi mengelakkan tindakan sitaan dan lelongan diambil ke atas harta alih dan pegangan masing-masing.

“Pemilik yang mahu menjelaskan tunggakan cukai taksiran, mereka layak diberi pertimbangan pengurangan waran tahanan bagi bayaran secara penuh atau ansuran,” katanya.


Pengarang :