Penumpang pesawat penerbangan memakai topeng penutup mulut dan hidung pada tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada 24 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

14 warga China dari Wuhan dihantar balik – Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Seramai 14 rakyat China yang berasal dari Wuhan telah dihantar pulang selepas mendarat di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) Selasa.

Tindakan itu diambil selepas kerajaan mengisytiharkan larangan bagi pelancong yang berasal dari Wuhan, wilayah Hubei untuk masuk ke negara ini sebagai langkah pencegahan jangkitan koronavirus 2019 yang melanda wilayah itu baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pihaknya melalui Jabatan Imigresen telah mengeluarkan notis ‘Not To Land’ kepada semua pelancong yang berasal dari wilayah tersebut.

“Hasil semakan dokumen dilakukan petugas imigresen di KLIA mendapati 14 individu berkenaan berasal dari Wuhan, China. Justeru, pihak imigresen mengeluarkan notis ‘Not To Land’ kepada semua individu tersebut dan seterusnya dihantar pulang.

“Ia mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan iaitu semua pelawat yang berasal dari Wuhan dan wilayah Hubei adalah dilarang untuk memasuki negara ini dari semua pintu sempadan,” katanya kepada pemberita di Bukit Aman di sini hari ini.

Muhyiddin berkata langkah keselamatan di sempadan negara juga diperketatkan memandangkan Malaysia mempunyai jaluran sempadan yang luas.

“Kita banyak berdepan dengan kemasukan pelancong dari luar negara di setiap pintu sempadan, mereka yang masuk akan melalui pemeriksaan (kesihatan).

“Sekiranya ada warga asing yang masuk secara haram, mereka juga akan diperiksa dan dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen,” katanya.

Muhyiddin turut mengingatkan rakyat negara ini agar tidak memutarbelitkan fakta dan menyebarkan berita palsu mengenai virus tersebut di media sosial

“Saya dimaklumkan terdapat tujuh kes penyebaran berita palsu berkaitan virus berkenaan diambil tindakan oleh pihak polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Masyarakat harus faham dalam situasi agak kritikal seperti ini, jangan main-main dengan berita palsu kerana tindakan sedemikian boleh mencetuskan perasaan panik dan takut dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Ditanya sama ada penyebar berita palsu terbabit terdiri daripada kumpulan tertentu, Muhyiddin berkata mereka hanyalah rakyat biasa dan tidak terlibat dengan mana-mana kumpulan.

– BERNAMA


Pengarang :