Pejabat Ahli Dewan Negeri Selat Klang menyerahkan bantuan Kembali ke Sekolah sumbangan Pemerbadanan Menteri Besar. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Bantu peniaga di Pantai Tanjung Harapan dapat lesen sah

PELABUHAN KLANG, 1 JAN: Peniaga di Pantai Tanjung Harapan di sini mampu tersenyum apabila hasrat untuk memperolehi lesen perniagaan bakal direalisasi secara berperingkat tidak lama lagi.

Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) Zon 44A, Kamaruzaman Adnan berkata pihaknya akan berusaha memudahkan proses permohonan lesen supaya peniaga dapat mengusahakan perniagaan secara sah.

“Selepas berjaya menghidupkan kembali Pantai Tanjung Harapan, kita mendapati banyak peniaga mula masuk ke sini untuk berniaga dan kebanyakannya tidak berlesen.

“Justeru, kita akan cuba bantu untuk memohon lesen supaya mereka dapat berniaga dengan cara yang betul tanpa masalah, tetapi harus mengikut syarat ditetapkan MPK,” katanya.

Beliau ditemui pada Sambutan Ambang Tahun Baharu Sempena Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) di Esplanade Tanjung Harapan di sini malam tadi.

Katanya sehingga kini seramai 10 peniaga sudah berjaya mendapat kelulusan lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan itu.

“Manakala, selebihnya kita akan laksanakan pada siri kedua kerana mengikut perancangan, kita mahu lokasi ini terus menjadi tumpuan ramai khususnya setiap hujung minggu melalui kepelbagaian aktiviti yang boleh dimanfaat secara bersama,” katanya.

Program julung kali anjuran Pejabat Ahli Dewan Negeri Selat Klang itu sebagai pendekatan mempromosikan pantai berkenaan sebagai salah satu lokasi tumpuan pelancong sempena TMM2020, selain meraikan kemeriahan sambutan tahun baharu.

Program yang berlangsung sejak 3 petang itu turut dimeriahkan dengan pelbagai acara antaranya pertandingan karaoke, persembahan silat daripada Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia DUN Selat Klang dan penampilan beberapa artis tempatan.

Dalam acara sama, seramai 50 murid sekolah rendah di sekitar DUN terbabit menerima bantuan ‘Kembali Ke Sekolah’ berupa wang ringgit sumbangan Pemerbadanan Menteri Besar.


Pengarang :