Datuk Hans Isaac ketika ditemu bual di pejabat FINAS di Hulu Kelang. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

FINAS sasar lebih banyak karya tempatan ke persada dunia

SHAH ALAM, 17 JAN: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyasarkan lebih banyak filem tempatan menembusi pasaran antarabangsa tahun ini.

Mengakui tidak mudah, namun pengerusinya Datuk Hans Isaac berkata hasrat itu boleh direalisasikan dengan kerjasama semua pihak, lapor BH online.

“Hendak cakap dan kritik senang tetapi bukan mudah mahu memasarkan filem tempatan ke luar negara.

“Kami memerlukan sokongan semua bahagian penggiat industri kreatif. Kami mahu bersikap adil dan memberi peluang kepada penggiat seni,” katanya pada sidang media pengumuman Festival Filem Malaysia ke-31 di Kompleks FINAS di Hulu Kelang, semalam.

Sebanyak 67 filem bersaing merebut 32 kategori pada festival bertemakan Inspirasi Sinemaku: Tanpa Sempadan di Encore Melaka pada 18 April ini.

Karya yang bakal dipertandingkan merangkumi 35 filem Bahasa Malaysia, Mandarin dan Kantonis (15), Tamil (12), animasi (empat) serta sebuah filem yang mewakili kategori lain-lain.


Pengarang :