Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jangkitan influenza dalam julat normal

SHAH ALAM, 4 JAN: Peningkatan kes jangkitan influenza di Malaysia berada dalam julat normal dan hampir sama dengan tahun sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, analisa Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menunjukkan tiada aktiviti survelan yang mengalami mutasi sehingga mencetuskan kemunculan virus influenze baharu (novel virus).

Bagaimanapun, katanya, beberapa langkah perlu diambil dalam mengendalikan pesakit terutama bagi kanak-kanak lima tahun ke bawah.

“Jika terdapat keperluan, guna ubat paracetamol mengikut dos yang tepat di samping mendemah bahagian badan seperti kepala, kaki dan badan dengan tuala basah (tepid sponging).

“Selain itu, elak memberi ubat Non-Steroidal Anti Inflammatory Drugs (NSAIDS) untuk mengurangkan demam kerana terdapat bukti klinikal menunjukkan penggunaannya boleh meningkatkan risiko komplikasi jangkitan influenza seperti radang otak di kalangan kanak-kanak.

“Minum air secukupnya supaya kekal terhidrat dan jumpa doktor dengan segera sekiranya demam tidak berkurangan atau mempunyai gejala penyakit influenza seperti demam selsema, sakit tekak, batuk, sakit kepala, sakit otot, sakit sendi serta kelesuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, mereka yang berisiko tinggi mendapat penyakit itu dinasihati supaya tidak mengunjungi tempat tumpuan ramai, selain memakai penutup hidung dan mulut dengan betul bagi mengelak penularan jangkitan melalui titisan pernafasan.

“Kerap membasuh tangan dengan menggunakan air sabun atau ‘hand sanitizer’ dan mengamalkan adab batuk yang baik serta cara hidup sihat.

“Tutup hidung dan mulut dengan tisu, tuala atau sapu tangan apabila batuk dan bersin serta mengelak daripada berkongsi peralatan peribadi dengan individu lain,” katanya.


Pengarang :