Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media semasa hadir pada Forum Integriti Bank Rakyat 2020 pada 14 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan cari penyelesaian tindakan India henti beli minyak sawit

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertegas akan terus bersuara walaupun terdapat laporan India mahu memboikot minyak sawit Malaysia.

Beliau juga menjelaskan isu perdagangan itu harus dicari penyelesaiannya.

“Jika kita biarkan perkara salah berlaku dan hanya memikirkan mengenai jumlah wang yang terlibat, banyak perkara salah akan terus dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Integriti Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) 2020 di sini hari ini.

Beliau mengulas pertanyaan mengenai sama ada kerajaan bimbang terhadap tindakan India menghentikan belian minyak sawit Malaysia susulan kritikan beliau mengenai tindakan India di Kashmir selain undang-undang baharu kewarganegaraan.

Ditanya sama ada kritikan Perdana Menteri terhadap India akan mengorbankan industri memandangkan India merupakan pengimport terbesar minyak sawit Malaysia, Dr Mahathir berkata penyelesaian perlu dicari.

“Itu kita perlu lakukan, cari penyelesaian.

“Namun hakikatnya ialah apa yang berlaku di India itulah yang menimbulkan lebih banyak masalah dan rasa tidak gembira dalam kalangan penduduk di sana,” katanya dan menambah ‘seluruh dunia merasakan tindakan diskriminasi terhadap sesiapa di sana adalah tindakan yang salah’.

Laporan berita baru-baru ini menyebut bahawa kerajaan India meminta pengimport minyak sawit negara itu menghentikan pembelian minyak sawit dari Malaysia, namun semalam, Menteri Industri Utama Teresa Kok mengatakan berita itu tidak benar.


Pengarang :