AGENDANASIONAL

Kes kanser di Malaysia meningkat dalam tempoh lima tahun

SHAH ALAM, 3 JAN: Jumlah kes baharu penyakit kanser di Malaysia meningkat kepada 115,238 kes bagi tempoh 2012 hingga 2016 berbanding dengan 103,507 kes bagi tempoh 2007 hingga 2011.

Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagi tempoh itu 10 jenis kanser tertinggi dikesan dengan keutamaan kes membabitkan kanser payudara.

“Bagi tempoh 2012 – 2016, kadar insiden adalah 86 kes bagi setiap 100,000 populasi lelaki dan 102 kes bagi setiap 100,000 populasi perempuan.

“Sebanyak sepuluh jenis kanser tertinggi yang dikesan dalam kalangan rakyat Malaysia mengikut keutamaan adalah kanser payudara, kolorektal, paru-paru, limfoma, nasopharynx, leukemia, kelenjar prostat, hati, pangkal rahim (serviks) dan ovari,” katanya.

Berdasarkan Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia (MNCRR) 2012 – 2016, kanser tertinggi dalam kalangan lelaki ialah kanser kolorektal diikuti oleh kanser paru-paru dan kelenjar prostat manakala bagi wanita pula ialah kanser payudara diikuti kanser kolorektal dan pangkal rahim.

Kanser paling kerap dikesan dalam kalangan kanak-kanak bermula dari awal kelahiran hingga 14 tahun pula ialah leukemia dan kanser sistem saraf tunjang sementara dalam kalangan remaja berusia 15 hingga 24 tahun adalah limfoma.

Dr Noor Hisham berkata, kadar kejadian kanser pangkal rahim telah menurun dengan ketara iaitu dari lapan kepada enam kes bagi setiap 100,000 populasi perempuan di Malaysia.

Katanya, penurunan itu berkemungkinan disebabkan kempen pengesanan awal melalui ujian Pap Smear yang disediakan kerajaan di semua fasiliti kesihatan.

Pap Smer adalah ujian saringan bagi mengesan penyakit serviks peringkat awal yang boleh bertukar kepada kanser serviks jika tidak dirawat.

Bagaimanapun, statistik MNCRR yang dikeluarkan buat kali kedua itu menunjukkan peningkatan kanser payudara dan kolorektal.


Pengarang :