BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Status bandar raya, jangan hakis mutu Subang Jaya

SHAH ALAM, 3 JAN: Kakitangan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dinasihat supaya menjaga kualiti perkhidmatan apabila dinaik taraf sebagai bandar raya kelak.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata pihak berkuasa tempatan itu juga perlu memiliki piawaian setaraf bandar raya tersohor dunia.

“Sudah lama kita usahakan supaya MPSJ dinaik taraf sebagai bandar raya dan ia mendapat persetujuan Kabinet. Tahniah kepada semua warga kerja atas kejayaan ini yang juga cerminan usaha kalian.

“Apabila sudah diisytihar secara rasmi oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, MPSJ komited meneruskan agenda mampan dan Maju Bersama,” katanya dalam amanat sempena tahun baharu.

Pada masa sama, Noraini berkata tahun 2020 menuntut warga kerjanya untuk terus berinovasi, kreatif dan lebih berintegriti susulan cabaran ekonomi yang lembab.

Katanya keadaan itu ditambah suasana dingin perniagaan sehingga ada yang mengambil jalan mudah untuk mengaut keuntungan.

“Rasuah mungkin ditawar untuk memudahkan cara, pada waktu itu menjalankan amanah menjadi susah sedangkan ia tanggungjawab kita.

“Perkhidmatan awam adalah perjuangan memartabat bangsa. Buktikan bangsa kita bermaruah, jadikan MPSJ wadah beribadah dalam bertakwa. Jalankan amanah dengan tabah dan rasa bangga,” katanya.


Pengarang :