Kampus Utama MSU di Shah Alam. Foto Wikipedia
AGENSISELANGOR

Koronavirus: MSU tangguh perjalanan pelajar, kakitangan ke China

SHAH ALAM, 31 JAN: Universiti Pengurusan dan Sains (MSU) menangguhkan semua aktiviti mobiliti membabitkan perjalanan pelajar dan kakitangannya ke China susulan penularan koronavirus 2019 berkuat kuasa serta-merta, kata presidennya.

Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata langkah itu bagi memastikan keadaan kesihatan 18,000 komuniti kampus dan warga Shah Alam berada pada tahap optimum.

“MSU membentuk sinergi dan rangkaian kukuh dengan pelbagai rakan universiti di China merangkumi kerjasama pengantarabangsaan serta kualiti pendidikan, namun kedua-dua pihak mengambil keputusan menangguhkan sementara program mobiliti ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata jika arahan perjalanan dibenarkan semula, setiap pelajar dari China yang mengikuti program berkenaan wajib menjalani pemeriksaan kesihatan di MSU Medical Centre.

“Pemantauan secara berterusan selama 14 hari selepas ketibaan turut akan dijalankan untuk memastikan tiada ancaman atau mengurangkan risiko penyebaran kepada orang lain,” katanya.


Pengarang :