Umat Islam berkumpul di Arafah yang merupakan acara kemuncak ibadah haji. Foto AFP
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kuota haji Malaysia meningkat kepada 31,600

SEPANG, 22 JAN: Kuota rasmi haji untuk Malaysia bagi tahun ini meningkat kepada 31,600 berbanding 30,200 jemaah tahun lalu, kata Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata penambahan kuota 1,400 orang hasil rundingan kerajaan Malaysia khususnya Lembaga Tabung Haji (TH) dengan Arab Saudi untuk mempertimbangkan kenaikan jumlah kuota seiring peningkatan populasi penduduk negara ini.

“Kita diberikan kuota berpandukan 0.01 peratus penduduk yang diambil daripada populasi kita yang tidak dikemas kini (populasi 30 juta) tetapi mengikut versi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2017, penduduk Malaysia meningkat kepada 31.6 juta.

“… kerana keputusan OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) yang menyatakan setiap negara dapat (kuota haji) 0.01 peratus daripada populasi penduduknya, maka kita maklumkan peningkatan mengikut statistik (PBB) terbaharu,” katanya kepada pemberita pada sidang media khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Ditemui sebaik tiba di tanah air dari Riyadh hari ini, Mujahid yang berada tiga hari di Arab Saudi sejak Ahad, mengadakan pertemuan dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Mohammad Saleh bin Taher Benten di Makkah bagi membincangkan isu berkenaan hal ehwal pengurusan dan persiapan jemaah haji dari Malaysia bagi musim haji 1441H.

Beliau turut mengadakan perbincangan bersama Menteri Hal Ehwal Agama, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi Sheikh Abdullatif bin Abdulaziz Al-Sheikh di Riyadh, sebelum pulang ke Malaysia.

Mujahid berkata penambahan kuota rasmi akan dapat mengurangkan jumlah mereka yang menunggu untuk menunaikan ibadah haji bagi musim haji 1441H dan tahun-tahun berikutnya, sekali gus memendekkan tempoh giliran.

“Insya-Allah pada tahun ini, seramai 31,600 jemaah Malaysia dapat menunaikan haji,” katanya.

Ditanya bagaimana persediaan TH berhubung penambahan kuota, Mujahid berkata TH sudah bersedia dengan mengambil kira semua aspek.

-BERNAMA


Pengarang :