Pulau Ketam di Klang.
AGENSISELANGOR

Lima lokasi popular buat kaki pancing di Selangor

SHAH ALAM, 3 JAN: Tourism Selangor mengenal pasti lima lokasi popular untuk pelancong dan kaki pancing melakukan aktiviti itu di negeri ini.

Tourism Selangor dalam kenyataan berkata, lima lokasi memancing itu membabitkan dua di daerah Klang iaitu Tanjung Harapan dan Pulau Ketam manakala tiga lagi di Kuala Selangor iaitu One Fanthom Bank, Pantai Jeram dan Pulau Angsa.

“Selangor merupakan lokasi memancing sangat popular kerana di sini terdapat beberapa tempat yang sering dikunjungi.

“Bukan itu sahaja, lokasi memancing di negeri ini juga mempunyai pantai yang cantik dan mereka boleh meluangkan masa melakukan aktiviti riadah,” kata kenyataan itu.

Pulau Angsa di Kuala Selangor.

Katanya, Tanjung Harapan atau ‘Cape of Good Hope’ memiliki pantai seluas dua kilometer (km) dan bersempadan dengan Pelabuhan Klang Golf Resort.

“Kawasan ini bukan sahaja menjadi tarikan kaki pancing tetapi pemandangannya yang cantik seperti sebuah oasis dengan dikelilingi kawasan perindustrian dan terminal perkapalan menjadikannya sesuai sebagai tempat beriadah,” kata kenyataan itu.

Katanya, terdapat banyak jeti yang boleh membawa orang ramai berkunjung ke Tanjung Harapan dan bayaran yang dikenakan bergantung kepada pemilik jeti itu.

Pulau Ketam yang majoriti didiami penduduk berbangsa Cina daripada kaum Teochew dan Hokkien juga menjadi tumpuan kaki pancing.

“Pulau ini adalah pulau bakau yang dikelilingi kawasan berlumpur yang rata. Terdapat empat perkampungan nelayan iaitu Perbandanan Pulau Ketam, Bagan Teo Chew, Sungai Lima dan Sungai Dua.

“Selain daripada memancing, mereka juga boleh bersiar-siar di sekitar Pulau Ketam dengan menyewa basikal,” kata kenyataan itu.

Pantai Jeram pula menjadi tarikan kaki pancing yang mahu mencuba nasib dengan cara membuang umpan ke laut dan menunggu masa untuk menarik ikan.

“Pantai sepanjang dua kilometer itu dihiasi banyak pokok Casuarina. Pantai ini menyediakan fasiliti yang ideal untuk seisi keluarga bersiar-siar,” katanya.

Begitu juga dengan Pulau Angsa yang kaya dengan ikan Fourfinger Threadfin, Mackerel Sepanyol dan Golden Snapper turut menarik ramai pelancong.

Sehubungan itu, pihak tourism mahu masyarakat memulihara alam sekitar dan pantai agar tidak tercemar.

“Negeri Selangor sememangnya lubuk untuk aktiviti memancing. Banyak pengalaman bermakna yang boleh diperolehi semasa melakukan aktiviti ini. Namun, kita sebagai masyarakat perlulah memulihara kawasan tarikan ini,” katanya.

 


Pengarang :