Foto ARKIB SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Mahkamah denda individu bina bangunan tanpa kebenaran RM10,000

BANTING, 9 JAN: Seorang individu didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Telok Datok selepas mengaku bersalah atas kesalahan membina bangunan tanpa kebenaran di lereng bukit di sini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohamad Zain A Hamid berkata, pengakuan bersalah itu direkodkan di hadapan Pegawai Pendakwa MDKL, Hazrizal Abdul Rahim pada 7 Januari lalu.

Selain denda maksimum, Mohamad Zain berkata kesalahan dibawah Seksyen 70(13)(c) Akta 133, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 terbabit juga memperuntukkan hukuman penjara dua bulan dan arahan merobohkan bangunan terbabit dalam tempoh 12 bulan dari tarikh pendakwaan.

“Mana-mana pemilik, pengusaha atau pemaju yang tidak patuh pada undang-undang wajar diambil tindakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya pendakwaan terbabit perlu dijadikan iktibar bagi mendidik masyarakat supaya patuh pada peraturan ditetapkan, sekali gus menjaga keharmonian sekeliling dan alam sekitar.

“Sehubungan itu, saya menegaskan bahawa sesiapa sahaja yang ingin membina, mendirikan atau mengubah suai bangunan perlu mendapatkan kebenaran MDKL,” katanya.


Pengarang :