ADN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Muzium Permainan Tradisional Rakyat perlu dibaik pulih

SHAH ALAM, 17 JAN: Muzium Permainan Tradisional Rakyat di Kuala Selangor wajar dibaik pulih semula bagi memelihara aset warisan di negeri ini, kata ahli dewan negeri Bukit Melawati.

Juwairiya Zulkifli berkata usaha itu perlu digerakkan Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor (Padat) dan kewujudannya juga akan menggalakkan sektor pelancongan di Kuala Selangor bersesuaian dengan Tahun Melawat Malaysia 2020.

Beliau berkata, pihaknya kini menggiatkan usaha menarik lebih ramai pengunjung ke daerah terbabit dan muzium itu diyakini mampu menjadi lokasi tumpuan pelancong domestik serta luar.

“Tarikan di daerah ini (Kuala Selangor) semakin berkurang apabila muzium terbabit ditutup dan dibimbangi menjadi lebih teruk jika dibiarkan terbengkalai tanpa sebarang penambahbaikan.

“Justeru, saya bercadang mengadakan pertemuan bersama Padat bagi mendapatkan penjelasan sebelum dibawa kepada EXCO Pelancongan,” katanya.

Katanya, pembukaan semula muzium itu akan memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai asal-usul permainan tradisional.

Muzium tersebut terbiar selepas terbakar pada 2011 namun usaha untuk membaikinya masih gagal dilaksanakan.


Pengarang :