AGENDANASIONAL

Op Selamat: 150 kematian dalam tempoh 10 hari

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Sebanyak 150 kematian dan 138 kemalangan maut direkodkan sepanjang 10 hari Op Selamat 16/2020 diaktifkan sempena perayaan Tahun Baharu Cina, setakat ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata jumlah kematian tertinggi melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal dengan 102 kematian.

Manakala mengikut negeri, katanya Selangor mendahului statistik sebanyak 25 kematian, diikuti Johor (17), Sarawak (16), Kedah (13) manakala Pahang serta Kelantan, masing-masing 12 kes.

Secara keseluruhan, Azisman berkata 15,341 kes kemalangan jalan raya direkodkan membabitkan 22,770 kenderaan.

“Selangor mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi iaitu 4,325 kes, diikuti Johor (2,406), Kuala Lumpur (1,697) dan Perak (1,273),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sepanjang tempoh itu juga, 261,790 saman dikeluarkan dengan 165,099 atau 63.1 peratus daripadanya membabitkan enam kesalahan utama iaitu menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu melebihi had laju, menggunakan lorong kecemasan, memotong barisan dan memotong di garis berkembar.

Op Selamat 16/2020 yang dilancarkan pada 18 Januari sempena perayaan Tahun Baharu Cina diteruskan sehingga 1 Februari ini.

-BERNAMA


Pengarang :