Prihatin dengan sekolah yang terkesan akibat pembinaan LRAL2, empat sekolah menerima bantuan daripada Pengurusan Aset Air Berhad
SELANGOR

PAAB bantu empat sekolah terkesan Projek LRAL2

SHAH ALAM, 7 JAN: Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) membantu empat sekolah yang menerima kesan sampingan di jajaran pembinaan Projek Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 (LRAL2) kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Abdul Hadi Ali.

Beliau berkata kesemua sekolah itu menerima Bantuan Kembali ke Sekolah yang diserahkan kepada 250 pelajar kurang berkemampuan serta menerima Sumbangan Zakat Wakalah PAAB berjumlah RM5,257.50.

Antara masalah yang dihadapi ialah bangunan sekolah retak, bunyi bising, kerja pengorekan jalan dan kesesakan jalan raya.

Empat sekolah itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Dusun Nading dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dusun Nanding di Hulu Langat, dua lagi ialah sekolah ialah SK Ampang dan SMK Taman Kosas di Ampang.

Lawatan pelajar bagi menyemai kesedaran menerusi Kempen Kesedaran Air, projek-projek kelestarian alam sekitar, program tahunan sekolah serta beberapa aktiviti lain

“Ini sebahagian fokus PAAB kepada pendidikan, alam sekitar, komuniti dan sukarelawan.

“Kami turut memberi pendedahan kepentingan memelihara sumber air, penjimatan air dan menghargai bekalan air bersih kepada 5,000 pelajar dan guru,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program PAAB ‘Schools Sustainability 2019-2020’, di Hulu Langat, semalam.

Turut hadir menyempurnakan majlis pelancaran itu ialah Pengerusi PAAB, Datuk Seri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani.

Abdul Hadi berkata PAAB bertanggungjawab membangunkan LRAL2 merangkumi 23 pakej membabitkan kawasan termasuk Hulu Langat, Cheras, Sungai Besi, Bukit Jalil, Petaling, Bandar Kinrara, Bukit Dengkil, Ampang serta Keramat AU3.

Pelajar diberikan kesedaran mengenai kepentingan memelihara sumber air, penjimatan air dan menghargai bekalan air bersih

Katanya ia merupakan projek LRA terbesar di Asia Tenggara apabila mula dibina pada Mac 2014 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2023 dengan keseluruhan projek 80.88 peratus siap.

“LRA Langat 2 berupaya membekalkan keperluan 1,130 juta liter air sehari kepada penduduk di Lembah Klang sekali gus meningkatkan rizab bekalan air.

“Kerajaan Persekutuan bersetuju membina LRA Langat 2 dengan kos RM3.7 bilion bagi menampung keperluan dan permintaan tinggi bekalan air di Lembah Klang,” katanya.


Pengarang :