BUDAYARENCANA

Selipar getah

Oleh Muhammad Fareed

Ketika diajak bermalam di rumah adik iparnya hujung minggu itu, perkara pertama yang terbit di fikiran Farhan ialah lantai bilik air. Walaupun diselaputi kepingan jubin kecil yang kesat ketika basah, tapak kaki Farhan tidak pernah betul-betul melekap pada lantai itu. Dari pintu masuk, biasanya dia akan terjingkit-jingkit ke bidet, menggeletar di bawah pancuran air atau tercegat di hadapan cermin. Betisnya pernah beberapa kali diserang kejang kerana terlalu lama berjingkit.

Sehari sebelum bertolak ke sana, dia telah membeli sepasang selipar getah ketika pulang dari kerja. Berbungkus beg plastik, selipar itu disimpan di dalam but kereta, dan dipantau rapi. Ketika isteri dan anak-anaknya menyumbat beg pakaian ke dalam but itu, dia terjingkit-jingkit menjengah dari muka pintu. Walaupun tidak melihat sesiapa menyentuh beg plastik itu, dia tetap membuat pemeriksaan akhir—berhimpit-himpit dengan beg pakaian dan memastikan selipar itu masih berada di dalam plastik.

Dia fikir tiada siapa perasan akan selipar itu. Dari Tol Ayer Keroh menuju ke Tol Sungai Besi, dia dan isteri cuma berbual tentang masalah kerja masing-masing. Tentang bos yang pilih kasih, rakan sekerja yang suka membodek, prestasi merudum kerana tidak mencapai target dan macam-macam lagi. Sehinggalah isterinya tiba-tiba meminta untuk berhenti singgah di mana-mana kawasan rehat atau hentian sebelah kerana perut memulas. Sejurus dia masuk ke sebuah kawasan rehat, isterinya tiba-tiba bertanya.

“Selipar dekat belakang tu siapa punya?”

Farhan yang sedang menggeliat ketika itu tersentak serta-merta. Tubuhnya kekal melengkung beberapa saat sebelum perlahan-lahan ditegakkan semula. Sambil menepuk dahi, dia tiba-tiba mengaduh. Katanya, selipar itu milik seorang rakan pejabat. Dibeli sewaktu mereka keluar makan tengah hari beberapa hari lalu.

“Kalau macam tu, saya guna dululah, eh?” ujar isterinya.

“Kasut saya ni baru lagi. Sayang pula nak bawa masuk tandas.”

Farhan tercengang seketika.

“Eh… mana boleh macam tu. Itukan selipar kawan saya. Nanti dia cakap apa pula.”

“Alah, nanti saya gantilah dengan yang baru. Yang betul-betul sebiji macam selipar tu.”

Namun, Farhan tetap berkeras. Dan dari situ, isterinya mula menarik muncung dan berdiam diri sehingga sampai ke destinasi.

Adik iparnya menetap bersama isteri dan seorang anak kecil di sebuah pangsapuri kos rendah untuk anggota polis di Keramat. Selain perlu termengah-mengah mendaki tangga ke tingkat tiga, ruang parkir yang sempit dan lantai bilik air; Farhan sukakan rumah itu. Tidak seperti rumah teres satu tingkatnya, suhu rumah itu lebih sejuk dan berangin. Dia gemar berdiri di balkoni sambil termenung melihat bukit hijau yang melatari pangsapuri-pangsapuri di kawasan itu. Pemandangan itu, fikirnya, nyaman.

Namun, rasa nyaman itu akan segera lenyap tatkala pundi kencingnya tiba-tiba terasa padat atau perutnya mula memulas. Biasanya dia akan mencapai kunci kereta dan keluar dengan alasan ingin ke kedai. Setelah bergegas menuruni anak tangga, dia akan memandu ke sebuah stesen minyak berdekatan dan melepaskan hajat di situ. Dan dia tidak akan mandi di rumah itu jika datang dan pulang pada hari yang sama.

Dia keluar ke stesen minyak sekali sahaja hari itu. Selepas meneguk dua cawan teh semasa minum petang, dia mencapai kunci kereta dan memberitahu ingin keluar sebentar untuk membeli ubat gigi. Namun, langkah dia terhenti di muka pintu apabila adik iparnya tiba-tiba bersuara.

“Rumah ni banyak ubat gigi, bang. Berlambak dalam kabinet dapur tu.”

“A’ah,” tambah isteri adik iparnya.

“Beli tapi tak guna-guna pun. Yang dalam bilik air itupun tak habis-habis lagi.”

“Ubat gigi apa?” tanya Farhan.

“Ada macam-macam jenis, bang,” balas adik iparnya. “Colgate… Darlie… Mu’min… apa lagi? Marilah tengok.”

Farhan bertinggung di belakang sambil adik iparnya mencapai beberapa kotak ubat gigi berlainan jenama. Selepas meneliti setiap kotak itu, Farhan menggumam.

“Ni semua ubat gigi biasa,” kata Farhan.

“Abang tak boleh guna ubat gigi biasa. Sebab gigi abang belah belakang ni sensitif. Kena guna Sensodyne.”

Farhan kembali ke rumah dengan sekotak ubat gigi Sensodyne yang belum pernah dia gunakan sebelum ini. Selipar itu turut dibawa naik—diselit di dalam baju yang sudah berbau masam kerana menyerap peluh. Selipar itu kemudiannya diselit ke dalam beg pakaian dan dizip rapat.

Menjelang senja, seorang demi seorang masuk ke bilik air. Ketika melangkah keluar, Farhan akan menjeling kaki mereka sambil sesekali meneguk liur. Sisa air yang menitis dari tumit kaki sejurus diangkat dari kepingan jubin kecil itu, bikin tekaknya terasa mual.

Dia pula, cuma masuk ke bilik air itu menjelang tengah malam. Ketika semua orang sudah masuk tidur, dia terketar-ketar di bawah pancuran air bersarungkan selipar itu. Kali ini tidak tergesa-gesa seperti yang lepas-lepas. Setiap pelosok badan dipastikan bersabun dan kulit kepala diurut perlahan-lahan dengan syampu. Sewaktu ingin melangkah ke bawah pancuran air untuk membasuh lumuran buih itu, kakinya tiba-tiba terasa berat. Badannya kaku serta-merta apabila melihat air bertakung di atas lantai. Ketika dia sedar untuk menutup pancuran air, paras takungan itu sudah hampir menjangkau buku lali.

Dada Farhan mula terasa sesak tatkala melihat cecair pekat berwarna hijau membuak-buak keluar dari lubang air dan bertebaran di permukaan takungan. Belum sempat cecair itu menjangkau kakinya, semua hidangan minum petang dan makan malam dimuntahkan. Ia bergumpal dengan cecair hijau itu dan sesekali melanggar kakinya.


Pengarang :