SELANGOR

Pemandu mabuk langgar sebelas kereta

SHAH ALAM, 28 JAN: Seorang pemandu lelaki dipercayai di bawah pengaruh alkohol merempuh sebelas kenderaan lain di kawasan parkir Flat Taman Kota Pendamar 2, Klang semalam.

Dalam kejadian jam 9.35 malam, pemandu berusia 46 tahun terbabit dipercayai memandu dari Pendamar Indah menghala ke Pelabuhan Klang, lapor Berita Harian.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata ujian awal mendapati kandungan alkohol dalam darah suspek melebihi paras yang dibenarkan.

“Suspek cuba melarikan diri sebelum kenderaan pacuan empat roda dipandunya terhenti selepas melanggar tiang elektrik.

“Kesemua kenderaan yang dilanggar berada dalam keadaan parkir dan tiada kecederaan akibat kemalangan dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 42 (1) dan Seksyen 45a (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Pengarang :