AGENDANASIONAL

Covid-19: Pakej rangsangan ekonomi boleh tingkat perdagangan bersama

SUNGAI BULOH, 14 FEB: Duta China ke Malaysia, Bai Tian percaya pakej rangsangan ekonomi yang bakal diumumkan tidak lama lagi akan membantu meningkatkan ekonomi dan perdagangan di China dan Malaysia.

Beliau berkata impak daripada penularan koronavirus 2019 (Covid-19) akan dapat dikurangkan menerusi pakej rangsangan ekonomi atau dasar khas yang dilaksanakan kerajaan Malaysia dan China.

Menurutnya, penularan virus itu telah menjejaskan banyak industri terutamanya pelancongan, sambil menambah perdagangan dua hala semasa suku pertama tahun ini mungkin terjejas disebabkan pergantungan bersama antara China dan Malaysia.

“Bagaimanapun, semasa cuti perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini, aktiviti komersial di China menjadi perlahan jadi impaknya mungkin tidak sebesar yang anda fikirkan.

“Dalam tempoh jangka panjang, keseluruhan situasi ekonomi 2020 kemungkinan besar stabil,” katanya kepada pemberita selepas melawat empat warganegara China yang pulih daripada jangkitan Covid-19 dan dibenarkan keluar daripada Hospital Sungai Buloh hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

– BERNAMA


Pengarang :