Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika sidang media mengenai situasi terkini jangkitan Covid-19 pada 4 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dua lagi rakyat Malaysia positif koronavirus

PUTRAJAYA, 5 FEB: Dua daripada 107 individu, yang tiba di tanah air Selasa pagi dari Wuhan, China menerusi Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) digerakkan kerajaan Malaysia, disahkan positif koronavirus 2019.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif kluster koronavirus di Malaysia kepada 12.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kes terbaharu ini melibatkan dua warga Malaysia iaitu seorang lelaki berusia 45 tahun dan anak lelakinya yang berusia sembilan tahun.

“Kedua-dua mereka (bapa dan anak) tidak menunjukkan sebarang gejala koronavirus ketika dibawa pulang dan disahkan positif di Pusat Pemantauan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Bandar Enstek, Nilai di Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media harian perkembangan 2019-nCoV di Kementerian Kesihatan Malaysia di sini, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata kedua-duanya kini dirawat di wad isolasi di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

Selain anak lelakinya, lelaki itu pulang bersama isteri dan seorang lagi anak perempuan mereka.

Jelas Dr Dzulkefly, kedua-dua rakyat Malaysia yang didapati positif koronavirus dikesan melalui ujian sampel calitan tekak.

Katanya daripada 12 kes positif di Malaysia pada masa ini, sembilan kes melibatkan warga China dan tiga merupakan warganegara Malaysia.

Mengenai dua individu yang tidak melepasi tapisan kesihatan di Unit Kecemasan Udara (ADU) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas tiba dari misi Wuhan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur, Menteri Kesihatan itu mengesahkan mereka negatif 2019-nCoV.

Penerbangan khas dari Wuhan itu membawa 107 individu terdiri daripada 88 rakyat Malaysia dan 19 ahli keluarga bukan warganegara serta 12 kru penerbangan, lapan petugas misi dan enam pegawai dari Kedutaan Malaysia di Beijing.

Mengenai risiko penumpang lain dan kru dalam penerbangan dijangkiti koronavirus memandangkan dua orang kini didapati positif, Dr Dzulkefly berkata kesemua mereka perlu melalui prosedur pemeriksaan koronavirus.

“Kami tidak boleh terlepas satu atau dua individu. Kita akan mengendalikan perkara ini dengan teliti. Mereka akan dipantau selama 14 hari,” tegasnya.

Beliau menjelaskan daripada 12 kes positif koronavirus di Malaysia, lima kes merupakan dalam kalangan pesakit dalam siasatan (PUI), lima kontak rapat dan dua merupakan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari Wuhan.

Setakat pagi ini, jumlah kumulatif kes PUI koronavirus adalah 257 orang iaitu 161 adalah warganegara Malaysia, 91 warga China dan masing-masing satu warganegara Australia, Korea Selatan, Jordan, Brazil dan Thailand, katanya.

Beliau berkata 235 kes adalah negatif dan 17 kes masih menunggu keputusan makmal.

– BERNAMA


Pengarang :