Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika ditanya wartawan selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 24 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KPN: Keadaan negara kekal aman

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Malaysia kekal aman dan orang ramai diberi amaran supaya tidak membuat spekulasi mengenai keadaan politik semasa sehingga menjejaskan keamanan, kata ketua polis negara.

Tan Sri Abdul Hamid Bador memaklumkan dititah mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bagi memberikan taklimat mengenai ketenteraman dan keselamatan awam ketika ini.

“Saya berada di Istana Negara sejak tengah hari tadi bagi memberikan taklimat kepada Tuanku mengenai keadaan dalam negara.

“Keseluruhannya keadaan terus aman dan tenteram. Tuanku menitahkan supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) berusaha memastikan ketenteraman serta keamanan dalam negara.

“Pihak saya setakat ini tidak terima sebarang ancaman. Tidak ada isu boleh membuatkan orang berkelahi, PDRM akan terus memantau dengan lebih dekat supaya tidak tercetus apa-apa yang tidak diingini,” katanya kepada pemberita selepas selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di sini, hari ini.

Abdul Hamid turut menyeru orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan menyebarkan berita palsu yang boleh mendatangkan kegusaran kepada orang ramai.

“Proses demokrasi sedang berjalan dengan baik, Insya-Allah apa juga keputusan yang dibuat oleh Tuanku akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :