AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Cipta citra baharu depani cabaran semasa

SHAH ALAM 28 FEB: Selangor perlu cekap mengenal pasti peluang dan bekerja keras demi mencapai hasil terbaik buat kemajuan negeri dan manfaat rakyat, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Mengakui berdepan cabaran ekonomi tahun ini susulan perang dagangan dan ancaman Covid-19 katanya, usaha perlu ditingkatkan untuk mencapai kutipan hasil seperti 2015 atau 2010 hingga 2011.

“2020 detik yang amat penting buat pentadbiran ini. Masanya tiba untuk mencipta citra yang sedikit berbeza daripada 10 tahun lepas di samping meneruskan dasar dahulu seperti keterbukaan, kebertanggungjawaban, kecekapan, ketelusan dan lain-lain dasar proreformasi.

“Sudah tiba masanya kita mengajar rakyat dan mengubah pendirian dan paradigma agar lebih berdaya saing, lebih-lebih lagi dengan ketidakstabilan politik rantau ini dan kegawatan ekonomi,” katanya dalam perutusan Pemukiman Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Selangor di Bandung, Indonesia pada 23 hingga 26 Februari lalu.

Pada masa sama beliau berkata, dasar klusterisasi dan penjajaran semula dalam memberikan infrastruktur dan kemudahan awam yang peduli rakyat perlu mengambil kira jangka masa pendek dan pertengahan.

“Sifat jangka panjang bukan sekadar lima tahun tetapi sepuluh tahun ke hadapan… kalau boleh disekalikan dengan Pelan Induk Pengangkutan Awam, Pelan Induk Alam Sekitar… supaya gagasan ekonomi yang dikenal pasti menjadi tunjang ekonomi negeri,” kata Amirudin.


Pengarang :