Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) diiringi EXCO Pelancongan Datuk Abdul Rashid Asari (tiga, kanan) menyempurnakan gimik Perasmian Program Pemurniaan Pelancongan Selangor (P3S) peringkat Kuala Selangor di Dataran Melawati, Kuala Selangor. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Sedia garis panduan atasi pengusaha bot haram

KUALA SELANGOR, 4 FEB: Aktiviti pengusaha bot dan jeti haram yang tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dikhuatiri menjejaskan keselamatan pengunjung dan kualiti pelancongan di daerah ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Merujuk kepada Sky Mirror, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata siasatan Majlis Daerah Kuala Selangor mendapati hanya seorang pengusaha mempunyai kelulusan untuk menjalankan aktiviti berkenaan.

“Kerajaan Negeri bimbang aktiviti membawa pelancong secara haram berleluasa tanpa memikirkan keselamatan mereka, bahkan kualiti jeti dan penggunaan diesel akan mengganggu habitat di laut.

“Justeru, garis panduan menerusi Program Pemurnian Pelancongan Selangor (P3S) akan dikeluarkan sebagai rujukan kepada pengusaha yang ingin meneruskan operasi di situ,” katanya selepas merasmikan program berkenaan di Dataran Melawati di sini.

Amirudin berkata program kendalian Majlis Tindakan Pelancongan Daerah Kuala Selangor dimulakan dengan dialog dan pertemuan dengan pengusaha dan jika berjaya, akan diperluaskan ke daerah lain.

P3S diperkenalkan di setiap daerah mengikut permasalahan dan diselaraskan di seluruh negeri dengan setakat ini dilaksanakan di Hulu Langat bagi garis panduan membabitkan inap desa dan dusun.


Pengarang :