PENDAPATRENCANA

Risiko kemalangan 13 kali ganda, bahana nahas pemabuk

KEMALANGAN maut akibat pemandu mabuk semakin mendapat perhatian ramai setelah berita kematian kian kerap muncul di dada akhbar. Mereka mula mendesak kerajaan menangani masalah tersebut yang dianggap makin sering berlaku.

Masalah itu pernah dilalui kebanyakan negara Barat termasuk United Kingdom, apatah lagi pengambilan minuman keras sebahagian budaya negara-negara berkenaan.

Namun, keupayaan pihak berkuasa negara tersebut yang berjaya mengecilkan kadar kematian boleh kita jadikan teladan. Secara ringkas, tindakan di ambil melalui saluran perundangan dan kempen kesedaran secara berperingkat-peringkat.

Misalnya, seramai 1,640 orang terbunuh, 8,300 mengalami cedera parah, manakala 21,490 lagi cedera akibat nahas yang melibatkan pemandu dalam pengaruh alkohol pada 1979 di UK.

Namun, lebih kurang sedekad kemudian, jumlah itu berkurangan. Pada 1990, hanya berlaku 760 kematian, 4,090 mangsa parah dan 15,550 lagi cedera. Aliran penurunan berterusan pada 2016 yang mencatatkan 230 kematian, 1,250 parah dan 7,550 lagi cedera.

Mulai 1981, ujian pernafasan untuk menentukan kandungan alkohol dalam tubuh mula diperkenal di UK, diikuti hukuman penjara melibatkan kes kematian sepuluh tahun kemudian.

Paras alkohol tinggi

Malah, doktor juga dibenarkan mengambil sampel darah ketika suspek pemandu mabuk tidak sedarkan diri pada 2002. Mulai 2004, hukuman penjara yang hanya lima tahun pada 2001 ditambah tempohnya kepada 14 tahun bagi kes kemalangan maut.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Pada masa sama, kempen kesedaran tentang keburukan memandu dalam pengaruh alkohol digiatkan, termasuk melalui media massa.

Sebaliknya di Malaysia, sekalipun masalah pemandu mabuk tidak seburuk di UK, tetapi aspek perundangan masih lemah terutama dari segi hukuman penjara.

Pada masa ini, Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan terhadap pemandu mabuk.

Bagi kes melibatkan kematian pula, Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 cuma memperuntukkan denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan.

Hukuman di negara kita ini jauh berbeza dengan UK yang memperuntuk penjara antara lima hingga 14 tahun bagi kes seumpama itu antara 1991 hingga 2004.

Takrif pemandu mabuk di Malaysia berdasarkan kandungan alkohol di dalam darah juga lebih tinggi daripada yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Negara kita menetapkan 80mg dalam 100ml darah tetapi badan dunia itu menyarankan 50mg dalam 100ml darah.

Paras kandungan alkohol ini mengakibatkan sebahagian kaki botol yang sepatutnya dianggap mabuk dalam takrifan WHO terlepas ketika ujian pernafasan dibuat di negara kita.

Pinda undang-undang

Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) menunjukkan kemungkinan nahas berlaku membabitkan pemandu mabuk 13 kali ganda lebih tinggi.

Antara 2010 hingga April 2015, sebanyak 1,035 nahas melibatkan pemandu mabuk mengakibatkan 618 kematian. Kemalangan itu juga membabitkan pihak ketiga termasuk pejalan kaki.

Justeru, kabinet bulan lalu bersetuju untuk meminda undang-undang berkaitan kesalahan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk, pengaruh dadah serta memandu secara bahaya.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata akta akan dipinda untuk memberi hukuman lebih berat dan setimpal kepada mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Kajian itu akan mengambil masa beberapa bulan dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada seisi kedua pada Jun atau Julai,” katanya seperti dilaporkan 29 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Selangor juga percaya pindaan hukuman sedia ada ke tahap lebih berat mampu mengurangkan nahas jalan raya akibat memandu dalam pengaruh alkohol.

“Pemanduan di bawah pengaruh alkohol boleh dikategorikan sebagai sikap pemandu yang tidak prihatin terhadap keselamatan diri dan orang lain walaupun kesalahan berkenaan termaktub dalam undang-undang iaitu Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata S Sasikumar kepada SelangorKini.

Beliau juga menyarankan pihak berkuasa khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan dan polis supaya bersikap lebih tegas dan mereka tidak menjalankan operasi hanya semasa musim perayaan.


Pengarang :