AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

mySalam: `Talian hayat’ kesihatan rakyat

KLANG, 17 FEB: Kelayakan untuk menuntut bayaran RM8,000 menerusi skim perlindungan masyarakat, mySalam bagi penyakit kritikal ibarat ‘talian hayat’ buat Rosshiella Roslan selepas suaminya menghidap strok.

Rosshiella, 35, seorang pekerja swasta di daerah ini berkata suaminya Mohamad Firdaus Mohd Noor, 35, menghidap strok sejak 2018 dan sejak itu mereka berulang-alik ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

“Untuk skim ini, saya sudah buat tuntutan sejak tahun lepas dan wang berkenaan membantu kami untuk perbelanjaan perjalanan ke hospital.

“Tapi hari ini, apabila saya dapat tahu bahawa penyakit strok boleh tuntut pembayaran RM8,000, saya sangat bersyukur kerana wang itu boleh menampung kos merawat suami saya,” katanya ketika ditemui di HTAR.

Katanya, inisiatif kerajaan mewujudkan skim bantuan seumpama itu meringankan beban golongan berpendapatan rendah (B40) yang bukan sahaja menanggung kos sara hidup yang tinggi namun terpaksa pula berhadapan dengan pelbagai kos rawatan perubatan.

Senada dengan Rosshiella adalah seorang penjawat awam, Zulradi Abdul Rahim, 34, yang menyifatkan skim diperkenalkan Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) pada tahun lepas menunjukkan keprihatinan pentadbiran negara dalam isu berkaitan kesihatan rakyat.

“Saya lihat skim ini merupakan niat kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan rawatan sebaiknya,” katanya yang ditemui di kios mySalam di HTAR.

Zulradi berkata beliau mahu mendapatkan maklumat mengenai proses tuntutan manfaat RM8,000 yang layak diperolehnya susulan pernah menjalani pembedahan otak akibat kemalangan baru-baru ini.

Sementara itu, seorang petugas di kios berkenaan memberitahu, beliau menerima permohonan dan pertanyaan mengenai skim itu daripada hampir 100 pengunjung hospital berkenaan dalam sehari.

“Untuk beberapa hari kebelakangan ini, kita menerima banyak pertanyaan mengenai skim mySalam yang dibuka kepada golongan berpendapatan pertengahan (M40) pula. Kami di kiosk sedia membantu sepanjang waktu operasi bermula jam 9 pagi sehingga jam 5 petang, Isnin hingga Jumaat.

“Selain menguruskan pertanyaan dan pendaftaran, kami juga membantu pesakit menguruskan proses tuntutan,” katanya yang enggan dikenali.

Skim mySalam yang dilancarkan pada 24 Januari tahun lepas merupakan perlindungan takaful kepada golongan B40 dengan memberi bayaran bantuan tunai sekali gus RM8,000 bagi mereka yang menghidap satu daripada 36 penyakit kritikal termasuk kanser, serangan jantung dan alzheimer serta elaun hospital harianRM50 sehari atau maksimum RM700 setahun.

Pada 11 Februari lalu pula, kerajaan menambah baik skim berkenaan apabila menambah perlindungan kepada 45 jenis penyakit kritikal termasuk polio bermula tahun ini selain memperluaskan manfaatnya kepada golongan M40 dengan pendapatan kasar tahunan tidak melebihi RM100,000.

– BERNAMA


Pengarang :