Datin Seri Rosmah Mansor meninggalkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas menghadapi tuduhan rasuah pada 10 April 2019. Foto AFP
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

‘Suka mengarah’, Rosmah didakwa boleh pengaruhi keputusan kerajaan

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Walaupun tidak mempunyai kedudukan rasmi, isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor didakwa bertindak ‘bossy’ (suka mengarah) sehingga boleh mempengaruhi keputusan kerajaan, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

Pendakwa utama Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata Rosmah sendiri tidak mempunyai kedudukan rasmi tetapi mempunyai pengaruh besar kerana sifatnya yang suka menguasai orang lain.

”Dia menempatkan dirinya dalam kedudukan di mana dia dapat mempengaruhi keputusan dalam sektor awam,” katanya semasa membaca pernyataan pembukaan pendakwaan pada hari pertama perbicaraan kes rasuah Rosmah di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Sri Ram berkata pendakwaan akan mengemukakan keterangan langsung dan ikut keadaan bagi menunjukkan tertuduh meminta dan menerima suapan mengikut pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Rosmah, 68, berdepan dakwaan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan suapan RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pegawai khas kepada bekas perdana menteri Datuk Rizal Mansor.

Wang itu sebagai upah kerana membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Gense/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di tiga tempat berasingan iaitu Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Mac dan 7 September 2018.

Perbicaraan kes rasuah yang dinanti-nantikan dijadual bermula Isnin lalu tetapi ditangguhkan hingga hari ini kerana Rosmah tidak hadir pada hari berkenaan kerana diberi cuti sakit sehingga Sabtu ini.

Hakim Mohamed Zaini berkata mahkamah bersimpati dengan Rosmah atas keadaan kesihatannya dan membenarkan penangguhan selama dua hari lagi.

Katanya, Rosmah akan dibenarkan duduk di kerusi roda semasa perbicaraan dan diberi waktu rehat sebanyak mungkin jika tidak berasa sihat.

-BERNAMA


Pengarang :