Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menunjukkan bahan pembersih tangan sebelum mempengerusikan mesyuarat berkenaan wabak koronavirus 2019 di Bangunan Perdana Putra pada 26 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

TPM: Rakyat diminta tidak sebar berita palsu koronavirus

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini meminta rakyat tidak menyebarkan berita palsu mengenai penularan koronavirus 2019 di beberapa negara termasuk Malaysia ketika ini.

Beliau berkata penyebaran berita palsu boleh menimbulkan suasana panik dan akan lebih memburukkan keadaan.

“Saya telah pergi melawat petugas barisan hadapan di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), KLIA2, Kementerian Kesihatan dan semua yang terlibat. Kita terhutang budi kepada mereka kerana ambil risiko yang tinggi.

“Jadi janganlah keluarkan berita dan perkara tidak betul. Sama-samalah kita bantu tangani masalah ini kerana kita bukan boleh berseorangan menghadapi wabak ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pertubuhan Bantuan Teknikal Insaf Malaysia (Insaf) di sini, malam ini.

Dr Wan Azizah berkata kerajaan telah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam memastikan setiap langkah yang diambil adalah mengikut Arahan Majlis Keselamatan Negara dan maklumat terkini daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Kementerian Kesihatan.

“Kabinet juga telah melaksanakan beberapa strategi dengan menyekat kemasukan pelancong dan membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan di samping menggerakkan institusi kesihatan negara untuk melakukan yang terbaik dalam menyekat penyebaran wabak ini,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :