Sebahagian pelancong yang dipercayai rakyat dari China menggunakan topeng penutup mulut dan hidung bagi mencegah jangkitan koronavirus 2019 (2019-nCoV) ketika tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2. Foto BERNAMA
BERITA UTAMA

Koronavirus: Pakai penutup hidung dan mulut jika demam, selesama, batuk

IPOH, 2 FEB: Penutup hidung dan mulut perlu dipakai oleh mereka yang mempunyai gejala seperti demam, selesema dan batuk bagi mengelak jangkitan penyakit yang dihidapi kepada orang lain, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau menegaskan pemakaian penutup hidung dan mulut itu mesti dilakukan dengan cara yang betul, khususnya apabila berada di tempat awam.

“Untuk elakkan jangkitan, paling penting adalah basuh tangan selalu, gunakan sabun, pencuci sesuai. Kalau pakai penutup hidung dan mulut dengan cara tak betul seperti sentuh muka juga berisiko alami jangkitan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan Tahun Baharu Cina Dewan Perhimpunan Cina Perak di sini, hari ini.

Dr Lee, yang juga Ahli Parlimen Gopeng, berkata demikian sebagai mengulas mengenai pandangan beberapa pakar bahawa pemakaian penutup hidung dan mulut perlu untuk mencegah jangkitan koronavirus 2019.

Beliau berkata sekiranya pemakaian penutup hidung dan mulut diwajibkan, ia akan mencetuskan satu suasana panik dengan terdapat kemungkinan permintaan untuk menutup tempat-tempat awam.

“Adakah kita perlu hentikan semua perhimpunan, tutup sekolah, tutup panggung wayang? Ini akan menyebabkan keadaan panik,” katanya.

Setakat ini, jumlah kumulatif kes positif koronavirus 2019 yang dilaporkan di Malaysia kekal lapan dengan jumlah kumulatif kes pesakit dalam siasatan (PUI) adalah 183 orang dan 18 orang masih menunggu keputusan makmal.

-BERNAMA


Pengarang :