Pegawai perubatan memeriksa maklumat pesakit yang disahkan bebas jangkitan Covid-19 di salah sebuah hospital di Wuhan pada 4 Mac 2020. Foto AFP
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Pekerja asing mesti jalani pemeriksaan kesihatan

ARAU, 8 MAC: Pekerja asing yang ingin bekerja di negara ini wajib menjalani pemeriksaan kesihatan dan disahkan bebas daripada jangkitan Covid-19 sebelum dibenarkan bekerja.

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KSM), Datuk Amir Omar bagaimanapun berkata keputusan sama ada ingin menyekat pengambilan pekerja asing tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri.

“Ada satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang akan bermesyuarat dari semasa ke semasa untuk melihat sejauh mana tindakan secara komprehensif yang perlu diambil.

“Saringan kesihatan ini sebenarnya telah dijalankan sejak dahulu lagi. Jadi kita nak pekerja warga asing yang bekerja di dalam negara bebas daripada sebarang penyakit yang mesti dijalankan oleh majikan,” katanya.

Beliau ditemui media selepas perasmian program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sektor Pertanian peringkat negeri Perlis 2020 di Nat Pokok Getah, Pauh di sini, hari ini yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Ir. Omar Mat Piah.

Dalam perkembangan lain, KSM menerusi JKKP akan memperluaskan penggunaan teknologi dron di kawasan tapak bina bagi memudahkan aktiviti pemantauan keselamatan di tapak pekerjaan.

Amir berkata penggunaan dron ini membolehkan JKKP membuat pemeriksaan terutamanya melibatkan kawasan bina yang tinggi sekali gus memantau tahap keselamatan yang wajib dipatuhi.

“Selain penguatkuasaan, teknologi dron ini dilihat boleh membantu meningkatkan tahap keselamatan di tapak bina. Fokus kita nak kurangkan kemalangan dan kematian,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :