Anggota tentera turun bagi membantu polis melakukan sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan wabak Covid-19 di Bangsar, Kuala Lumpur pada 26 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN /SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Degil solat Jumaat antara 400 ditahan ingkar PKP

PUTRAJAYA, 28 MAC: Hampir 400 tangkapan dilakukan dalam tempoh 48 jam kerana ingkar dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata hasil pengawasan yang dilakukan oleh pihak keselamatan mendapati masih ada orang ramai keluar melakukan senaman dan menunaikan solat Jumaat walaupun arahan supaya mereka kekal di rumah berulang kali dikeluarkan.

“Semalam ada kes masyarakat kita termasuk yang dalam ‘gated community’, ingkar dengan berjoging beramai-ramai.

“Mereka diambil tindakan…perintah PKP menyeluruh kepada semua rakyat,” kata Ismail Sabri yang juga merupakan Menteri Pertahanan pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata 116 individu yang bersolat Jumaat di lima masjid berasingan itu ditahan, selain menasihatkan supaya aktiviti berjoging dihentikan serta merta.

Beliau juga berkata masih ada kemasukan warga asing melalui jalan tikus walaupun kawasan sempadan negara ditutup.

“Justeru, polis akan mengawal jalan tikus yang telah dikenal pasti itu,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :