BERITA UTAMASELANGOR

Empat loji rawatan air di Sungai Selangor operasi semula

SHAH ALAM 18 MAC: Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor (LRA) Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang beroperasi semula pada 10.30 malam tadi, kata ketua komunikasi korporatnya.

Abdul Halem Mat Som berkata tindakan operasi pengepaman air kolam serta pelepasan air mentah daripada Empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi serta HORAS 600 berjaya mencairkan bahan pelarut  di dalam Sungai Selangor.

“Pencemaran bau menurun sehingga 0 TON yang membolehkan pengepaman air mentah dilakukan untuk dirawat oleh keempat empat loji rawatan air berkenaan,” katanya dalam kenyataan media.

Katanya berikutan henti tugas empat loji tersebut selama tiga jam, hanya beberapa kawasan di Wilayah Kuala Selangor dan Klang terjejas.

Kawasan terjejas seperti berikut:

1) Wilayah Kuala Selangor – Sebahagian Kuala Selangor dan Ijok.

2) Wilayah Klang – Shah Alam, Kapar, Meru, Telok Gong, Pulau Indah dan Pulau Ketam

Beliau berkata bagi kawasan di Kuala Selangor, Shah Alam, Telok Gong, Pulau Indah dan Pulau Ketam dijangka pulih sepenuhnya pada 6 pagi, 18 Mac. Manakala kawasan Meru dan Kapar, bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada 6 petang, 18 Mac.

“Air Selangor mengambil segala usaha meminimumkan impak gangguan kepada pelanggan terjejas termasuk menghantar bantuan air melalui lori tangki ke kawasan terjejas,” katanya.

Air Selangor menyalurkan status terkini kepada pelanggan dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com.

Dalam tempoh ini pelanggan dinasihatkan menggunakan air secara berhemat.

Pelanggan juga digalakkan muat turun aplikasi telefon pintar ‘Air Selangor’ di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air.


Pengarang :