Datuk Rosol Wahid (dua, kiri) diiringi Desmond Tan (kanan) ketika mengadakan lawatan di kilang roti Gardenia di sini hari ini. Sumber gambar KPDNHEP
AGENDANASIONAL

Gardenia jamin bekalan roti cukup

SHAH ALAM, 28 MAC: Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia) memberi jaminan bekalan rotinya cukup bagi keperluan pasaran setelah pengeluarannya ditingkatkan kepada 2.2 juta buku roti sehari.

Pengurus Besar Kanannya Desmond Tan berkata ia akan dihasilkan menerusi kelima-lima kilang milik mereka yang beroperasi 24 jam.

“Pengeluaran ini merupakan penambahan lima peratus dari jumlah pengeluaran sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan dan mampu menampung 60 peratus permintaan dari seluruh Semenanjung,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum itu Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid mengadakan lawatan ke kilang Gardenia di sini hari ini.

Pengeluaran 2.2 juta itu adalah meliputi semua jenis roti termasuk 840,000 roti putih.

Sejak beberapa hari lepas sepanjang tempoh PKP, pengguna merungut apabila bekalan roti Gardenia dikatakan sentiasa habis.


Pengarang :