Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap ketika sidang media harian berkenaan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia pada 26 Mac 2020. Foto BERNAMA
BERITA UTAMA

Covid-19: Seorang lagi maut, jumlah korban kini 27

SHAH ALAM, 28 MAC: Satu lagi kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah yang maut meningkat kepada 27, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kematian itu membabitkan warganegara Malaysia berusia 61 tahun yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Beliau berkata, mangsa dimasukkan ke Hospital Tangkak selepas mendapati ada simptom dan disahkan positif Covid-19.

“Pesakit kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Fatimah Muar pada 25 Mac dan meninggal dunia jam 10.50 pagi tadi,” katanya pada sidang media harian di Kementerian Kesihatan, Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, seramai 61 pesakit positif Covid-19 disahkan sembuh hari ini yang menjadikan jumlah keseluruhan individu pulih meningkat kepada 320 orang.

“Dalam pada itu, sebanyak 159 kes baharu positif dicatatkan sehingga jam 12 tengah hari 28 Mac yang menjadikan jumlah keseluruhan kes di Malaysia kepada 2,320 kes.

“Seramai 73 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 54 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.


Pengarang :