Anggota Bomba dan Penyelamat sedang giat menjalankan operasi pemadaman kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan pada 3 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat padam sepenuhnya

SHAH ALAM, 11 MAC: Kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat Selatan yang berlaku hampir dua minggu lepas berjaya dipadamkan sepenuhnya semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata setakat 6.30 petang, tiada kejadian kebakaran berulang dilihat berlaku di kawasan hutan simpan gambut berkeluasan 52 hektar itu.

“Pemadaman kebakaran hutan simpan itu berjaya dilaksanakan sepenuhnya terhadap kawasan yang terjejas. Namun, pemantauan akan dilakukan lagi hari ini sebagai penilaian terakhir jika asap masih ada,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Hafisham berkata dalam operasi semalam, pihaknya menggunakan strategi pemadaman secara direct attack dan jet shooter bagi menghapuskan saki baki asap serta kebakaran kecil di sekitar kawasan terjejas itu.

Beliau berkata seramai 78 anggota dan pegawai JBPM Selangor terlibat dalam operasi pemadaman dengan dibantu 52 pegawai agensi lain antaranya Angkatan Pertahanan Awam, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan Skuad Pantas Majlis Perbandaran Kuala Langat.

– BERNAMA


Pengarang :