Pasukan petugas menyita premis peniagaan di sekitar Majlis Daerah Sabak Bernam yang tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan pada 26 Mac 2020. Foto ihsan Facebook MDSB
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MDSB sita premis niaga, gerai langgar PKP

SHAH ALAM, 31 MAC: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menyita lima premis dan gerai penjaja di daerah terbabit kerana gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata yang dipertuanya.

Mohd Faizul Fitri Muslil berkata pihaknya turut mengeluarkan 29 notis peringatan dan satu notis kesalahan kepada pemilik premis serta penjaja.

Katanya, sejak PKP dikuatkuasakan 18 Mac lalu, sebanyak 114 premis perniagaan dan 71 gerai penjaja diperiksa pasukan petugas yang dianggotai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis termasuk MDSB.

“Kita dapati masih ada segelintir peniaga gagal mematuhi PKP dengan melakukan kesalahan seperti menjual makanan dan minuman kepada pelanggan secara terbuka.

“Malah, mereka juga dikesan melakukan kesalahan lain seperti menyediakan makanan dan minuman kepada pelanggan serta membenarkan mereka berkumpul di premis,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, MDSB memandang serius tindakan beberapa pengusaha premis makanan yang membenarkan premis masing-masing menjadi tempat orang ramai berkumpul.

“Justeru, semua pemilik premis diingatkan agar mematuhi arahan PKP kerana tindakan lebih tegas akan diambil terhadap pihak yang degil,” katanya.


Pengarang :