AGENDASUKANKINI

Pasukan dilarang berlatih, pemain asing kekal di Malaysia

SHAH ALAM, 18 MAC: Semua pasukan dilarang mengadakan latihan, perlawanan persahabatan serta mengehadkan pergerakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula hari ini sehingga 31 Mac, maklum Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Keputusan itu dibuat selaras arahan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac lalu, bagi menjamin keselamatan semua pihak.

“Pemain asing tidak dibenar meninggalkan negara ini kerana dikhuatiri tidak boleh masuk semula berikutan sekatan terhadap warga asing yang dilaksanakan Kerajaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan semalam.

Badan tersebut turut menggesa semua pihak memberi kerjasama baik sebagai langkah mengawal penularan Covid-19 yang semakin meningkat di seluruh dunia.

Pada masa sama, MFL akan memaklumkan sebarang perkembangan terkini berhubung sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan selaras arahan kerajaan.

Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia menangguhkan semua kejohanan di bawah kelolaan badan induk itu susulan kebimbangan penularan Covid-19.

Perkara itu diumumkan Presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin selepas mengadakan mesyuarat khas bersama semua pihak berkepentingan, Jumaat lalu.

 


Pengarang :