Keadaan Pasar MPAJ Tasek Tambahan di Ampang pada 19 Mac 2020. Foto AMIN RIDZUAN ISHAK/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pembelian panik, banyak barang naik harga

AMPANG, 19 MAC: Harga barang mentah seperti sayur, ikan dan ayam naik antara 10 hingga 30 peratus ekoran permintaan tinggi selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan kerana penularan Covid-19.

Tinjauan di pasar basah dan pasar raya borong di daerah ini mendapati, harga kebanyakan barang mula mahal sejak semalam iaitu hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Harga kebanyakan sayur dan ayam meningkat antara RM1 hingga RM2 sekilogram manakala ikan kembung naik daripada RM14 kepada RM20 sekilogram.

Seorang penjual sayur di Pasar MPAJ Tasek Tambahan yang hanya mahu dikenali sebagai Khairul berkata hampir kesemua jenis sayur dijualnya naik antara RM1 hingga RM2 sekilogram berikutan pemborong menjual dengan harga lebih tinggi sekarang ini.

“Contoh harga tomato hari ini RM7 berbanding RM5 dua hari lalu. Kami tiada pilihan kerana membelinya daripada pemborong dengan harga mahal.

“Pemborong mendapat permintaan tinggi daripada pasar raya yang membuat tambahan tempahan berikutan pembelian panik orang ramai beberapa hari lalu.

“Pihak berkuasa kena pantau dan memastikan bekalan mencukupi bagi mengelakkan orang ramai panik yang akhirnya memberi kesan kepada semua harga barang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang pembeli di pasar MPAJ, Rokiah Ahmad berkata dia tiada pilihan untuk turut sama membeli stok barang makanan kerana takut bekalan terputus.

“Harga ayam di pasar basah memang naik iaitu kini RM8.50 sekilogram berbanding sebelum ini hanya RM7.50. Mahal atau murah saya terpaksa beli untuk persediaan,” katanya yang bimbang harga barang akan terus mahal.

Dalam pada itu, seorang peniaga gerai makan, Rokiah Abbas, 40, berkata pemerhatiannya di pasar borong mendapati harga kebanyakan barang semakin mahal.

“Contohnya harga sekilogram ikan kembung kini dijual RM16 hingga RM20, sebelum ini harganya sekitar RM14. Begitu juga harga sekilogram bawang merah besar yang naik kepada RM6.90 berbanding RM4.90.

“Kami harap keadaan kembali baik manakala kerajaan perlu serius memantau harga dan bekalan barang kena cukup,” katanya.


Pengarang :