Petugas Kementerian Kesihatan bertungkus-lumus menjalankan saringan Covid-19 di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur. Foto Facebook Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

Petugas kesihatan swasta diseru sertai sukarelawan kendali Covid-19

SHAH ALAM, 24 MAC: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru petugas kesihatan swasta menjadi sukarelawan bagi membantu kerajaan menangani wabak Covid-19.

Dalam kenyataan di Facebooknya, KKM mencari individu berkemahiran dalam melakukan saringan kesihatan ke atas orang ramai di fasiliti kesihatan awam di kawasan tertentu.

“Menjalankan tugas di hospital yang sesak akibat Covid-19 bagi jabatan kesihatan, tulang dan pembedahan.

“Bagi pegawai atau pakar berpengalaman, mereka diperlukan untuk membantu merawat pesakit Covid-19 namun bergantung kepada keperluan,” jelas kenyataan itu.

Selain menyertakan borang permohonan, pemohon juga mesti berdaftar dengan badan profesional perubatan.

“Pemohon perlu sihat, sanggup bertugas di lokasi diperlukan dan tiada sejarah melawat negara luar atau menjadi kontak rapat kes positif Covid-19.

“Pemohon yang berkhidmat di sektor awam atau swasta juga perlu mendapat kebenaran ketua jabatan atau majikan masing-masing,” kata kenyataan itu.


Pengarang :