AGENDANASIONAL

SPAN didik pengguna jimat air guna pili cekap

SHAH ALAM, 12 MAC: Penukaran pili konvensional kepada pili cekap dijalankan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bertujuan membantu pengguna khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) mengurangkan perbelanjaan bil air, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman berkata selaras usaha pihaknya membekalkan air bersih, ia dijangka memberi kesan positif kerana pili berkaitan berlabel tiga bintang akan mengeluarkan 1.5 hingga maksimum empat liter air untuk setiap satu minit berbanding lapan hingga 10 liter bagi pili konvensional.

“Program ini kita laksanakan di seluruh negara melibatkan 880 rumah dengan Selangor adalah negeri keempat dalam usaha meningkatkan kesedaran awam terhadap pentingnya kita menjimatkan penggunaan air dalam kehidupan seharian,” katanya ketika sidang media selepas penganjuran Kempen Penggunaan Produk Cekap Air di Kampung Rantau Panjang, Klang dekat sini hari ini.

Hadir sama Ketua Operasi Air Selangor, Ir Abas Abdullah dan Ahli Dewan Negeri Sementa, Dr Daroyah Alwi.

Selain Selangor, program sama turut diperluaskan ke Pahang, Melaka, Perak dan Negeri Sembilan.

Sebanyak 176 rumah terlibat dalam program khidmat masyarakat dengan kerjasama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan pili cekap itu dipasang di rumah penghuni di samping menerima sumbangan sekampit beras.

Sementara itu, Dr Daroyah berharap semua pihak akan bersama-sama menyokong kempen itu kerana rakyat Selangor menggunakan 232 liter per kapita air sehari pada tahun lalu.


Pengarang :