DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan bertitah ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Kali Ke-14 Tahun 2020 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 16 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
RENCANA

Sultan Selangor: Rakyat penat berdepan politik bergolak

Berikut sebahagian teks asal titah ucapan sepanjang 17 halaman oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada istiadat pembukaan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor ke-14 Tahun 2020 hari ini:

Di kesempatan ini juga suka Beta menasihati Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian agar sentiasa memelihara kestabilan politik dan pentadbiran Negeri Selangor ini. Rakyat sebenarnya telah penat dan gelisah melihat pergolakan politik yang melanda Negara semenjak selepas pilihanraya ke 14 yang lalu sehinggalah ke hari ini.

Ahli-ahli politik dilihat sering kali berbalah di dalam isu-isu politik yang tiada berkesudahan sehingga melupakan tanggungjawab sebenar mereka untuk melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat untuk mentadbir Negeri bagi faedah kesejahteraan rakyat.

Kita semua sedia maklum, betapa rakyat pada ketika ini sedang mengalami kesempitan hidup yang amat sangat dengan kos sara hidup yang semakin hari semakin meningkat akibat daripada kemelesetan ekonomi dunia, matawang ringgit yang semakin merudum, peluang pekerjaan yang semakin mengecil mengakibatkan pengangguran meningkat dan terakhir sekali penularan wabak covid 19 yang melanda dunia tatkala ini.

Di dalam menghadapi krisis dan kemelesetan ini, rakyat di Negeri Selangor memerlukan tumpuan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian dalam menyelesaikan segala permasalahan bagi memastikan rakyat dapat keluar daripada kesempitan hidup.

Ini akan hanya dapat dicapai dengan melahirkan idea-idea bagi melaksanakan dasar-dasar yang boleh memangkin pertumbuhan ekonomi yang mampan dan menguntungkan rakyat, bukannya sibuk berbalah di dalam merebut kuasa dan kedudukan.

Wakil rakyat dipilih oleh rakyat adalah untuk bekerja serta berkhidmat membantu rakyat demi memastikan rakyat dapat mencapai kemakmuran serta menikmati kekayaan Negeri Selangor.

Beta tidak mahu ada di kalangan Ahli-ahli Yang Berhormat yang mempunyai hasrat dan niat untuk mengucar-kacirkan pentadbiran dan pemerintahan Negeri Selangor ini.

Beta mahu Ahli-ahli Yang Berhormat berusaha di dalam memastikan kestabilan politik di Negeri Beta sentiasa terpelihara demi kesejahteraan rakyat Beta di Selangor.

Baru-baru ini kita telah melihat perubahan kepada tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh kerajaan Perikatan Nasional bagi menggantikan kerajaan Pakatan Harapan.

Beta sendiri telah mengikuti perkembangan perubahan kuasa tersebut yang telah dilaksanakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan cukup berhati-hati dan selepas perundingan yang teliti dan terbuka diadakan, selaras dengan peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tohmahan berkaitan pembentukan kerajaan Persekutuan ini sebagai sebuah kerajaan pintu belakang ataupun satu rampasan kuasa adalah tidak bertepatan sama sekali dan ianya hendaklah segera dihentikan kerana Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah diberi kuasa untuk menggunakan budi bicara Baginda sebagaimana yang diperuntukkan di dalam undang-undang.

Walaupun kerajaan negeri Selangor diterajui oleh kerajaan Pakatan Harapan namun demi kelangsungan pembangunan ekonomi dan kemakmuran rakyat Negeri Selangor, Beta mengharapkan satu kerjasama yang erat dapat dijalinkan di antara kerajaan Negeri Selangor dan kerajaan Persekutuan.

Beta tidak mahu disebabkan perbezaan tampok pemerintahan dan ideologi politik akan menyebabkan rakyat Negeri Selangor terpinggir di dalam arus pembangunan ekonomi dan sosial.

Beta sedar, dalam menegakkan pemerintahan berkonsepkan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, Institusi Raja tidak sepatutnya dilihat terlibat secara langsung dengan isu-isu yang berkaitan dengan politik dan seharusnya kekal sebagai sebuah badan yang mengatasi politik “above politics”.

Namun demikian, sebagai Sultan di Negeri Beta, Beta bertanggungjawab untuk menasihati Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian agar tidak melakukan sesuatu tindakan yang tidak bertanggungjawab yang boleh merugikan rakyat Beta.


Pengarang :