Pasukan polis dibantu tentera melakukan sekatan jalan raya walaupun berdepan hujan lebat di kilometer 14 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Selayang pada 23 Mac 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tahap pematuhan perintah kawalan kini 92 peratus

PUTRAJAYA, 23 MAC: Penglibatan pasukan Angkatan Tentera Malaysia mulai semalam meningkatkan tahap pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 90 peratus kepada 92 peratus hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 1,903 sekatan jalan raya dilaksanakan pada hari pertama kerjasama bersepadu terdiri daripada polis, ATM, Rela dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Sebanyak 120,615 kenderaan diperiksa pada Ahad. Ini jelas menunjukkan ada dalam kalangan rakyat yang masih gagal patuhi PKP,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Tambah Ismail Sabri, mereka yang tiada bukti untuk meneruskan perjalanan pada sekatan jalan raya akan diminta pulang oleh pihak berkuasa.

Mereka yang sudah pulang kampung sebelum ini akan diminta berpatah balik jika cuba kembali ke tempat asal sepanjang tempoh PKP, katanya lagi.

Beliau berkata polis telah membuat 1,719 hebahan berkaitan PKP di seluruh negara pada Ahad.

“Walaupun kadar pematuhan PKP meningkat, namun pemahaman mengenai pentingnya jarakkan kedudukan antara satu sama lain oleh pihak awam masih kurang,” katanya lagi.

Tambah beliau mulai hari ini, pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membantu memastikan jarak kedudukan antara satu sama lain sejauh satu meter dipatuhi di pasar raya.

Kata Ismail Sabri, mesyuarat khas menteri-menteri berhubung PKP pagi ini turut memutuskan supaya pusat nembeli getah beroperasi seperti biasa kerana penoreh-penoreh getah masih bekerja seperti biasa,

“Justeru, jika ada (pusat membeli getah) yang gagal berbuat demikian kerajaan akan mengambil tindakan yang tegas,” katanya lagi.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat pada hari ini turut dimaklumkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bahawa bekalan makanan untuk keperluan rakyat Malaysia adalah lebih daripada mencukupi.

“Bekalan makanan adalah mencukupi dengan stok melebihi untuk dua minggu tempoh PKP,” katanya lagi.

Tambahnya,sektor terlibat dalam industri makanan masih beroperasi seperti biasa bagi memastikan bekalan makanan dan keperluan rakyat Malaysia sentiasa mencukupi.

Kata Ismail Sabri, nelayan tidak ada halangan untuk turun ke laut dan pekebun sayur boleh keluar bekerja.

“Kenderaan yang mengangkut produk makanan dibenarkan beroperasi,” katanya lagi.

-BERNAMA


Pengarang :