AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tentera tidak terbabit Perintah Kawalan Pergerakan

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Penugasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19 tidak melibatkan anggota tentera, sebaliknya Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Buat masa ini, PDRM akan menentukan semua (tugas) penguatkuasaan susulan pengumuman perintah itu,” kata Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Beliau menjelaskan pengumuman perintah itu tidak akan menjejaskan operasi serta penugasan pegawai dan anggota di sempadan serta perairan negara.

“Operasi di sempadan serta perairan negara berjalan seperti biasa, namun ATM akan mengurangkan latihan yang tidak mendesak,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Malaysia akan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa 18 hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mencegah penularan baharu Covid-19 yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat.

Ini adalah pertama kali dalam sejarah, Malaysia menguatkuasakan perintah seumpama itu.

Perintah kawalan dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Kes Covid-19 naik mendadak di negara ini dengan 125 kes baharu dilaporkan semalam, menjadikan jumlah keseluruhah individu yang dijangkiti setakat ini ialah 553 orang.

Seramai 511 orang sedang dirawat di hospital, manakala 42 pulih.

-BERNAMA


Pengarang :