Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari turut memeriksa salah satu sampel air yang diambil di kawasan pencemaran. ‬Foto Sumber: Facebook Dato’ Seri Amirudin Shari
EXCOSELANGOR

Tingkat pantau sungai, elak gangguan air

SHAH ALAM, 18 MAC: Agensi berkaitan perlu mempertingkatkan pemantauan lembangan sungai bagi mengesan kegiatan menyebabkan berlakunya pencemaran, kata EXCO alam sekitar.

Hee Loy Sian berkata Kerajaan Negeri berusaha mengelakkan gangguan bekalan air kepada pengguna sehingga menjejaskan Perintah Kawalan Pergerakan untuk mencegah penularan Covid-19.

“Pemantauan pihak berkuasa terus dilakukan di kawasan sungai berpotensi tinggi berlaku pencemaran dan menjadi komitmen Kerajaan Negeri memastikan tidak berlaku gangguan air,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Penemuan bau seakan pelarut di Sungai Gong dan Sungai Bakau, Rawang punca empat loji rawatan air (LRA) terpaksa dihenti tugas selama tiga jam, petang semalam.

Pencemaran tersebut dipercayai dari kawasan perindustrian kecil Sungai Bakau, Country Home, Rawang yang dianggarkan pada jarak 17km dari LRA Rantau Panjang dengan anggaran bau sekitar empat ton.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan LRA Sungai Selangor Fasa 1 , Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang beroperasi semula pada 10.30 malam tadi.

Terdahulu Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari memuji usaha petugas yang bertungkus-lumus memastikan bekalan air kepada pengguna berterusan susulan henti tugas empat LRA.


Pengarang :