Seorang kakitangan perubatan berehat di kawasan pandu lalu ujian saringan Covid-19 di Hospital Pakar KPJ Damansara, Petaling Jaya pada 28 Mac 2020. Foto REUTERS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Hospital swasta bantu saring kumpulan sasar

SHAH ALAM, 1 APRIL: Beberapa hospital swasta sedia menubuhkan pasukan sukarelawan untuk melakukan ujian saringan besar-besaran Covid-19 (mass testing) terhadap kumpulan sasar sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata perkembangan positif itu hasil perbincangan anak syarikat Kerajaan Negeri, Selgate Corporation yang mempunyai data khusus mengenai kawasan tumpuan wabak.

“Kita berdepan dengan sedikit kekurangan yang sudah pastinya test kit (peralatan) berkualiti. Kita cuba dapatkan daripada Kementerian Kesihatan dan kalau kita berjaya dapatkan (kita) boleh tumpu kepada kumpulan sasaran,” katanya ketika wawancara dalam program Agenda Awani, malam ini.

Menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.35 juta bagi menyediakan inisiatif saringan Covid-19 di kawasan panas atau zon merah yang dikenal pasti dengan sasaran 5,000 orang.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri sedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi mengekang penularan Covid-19 termasuk menyediakan perkhidmatan bas membawa penumpang yang baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau terminal Lapangan Terbang Subang untuk ditempatkan di lokasi khas untuk dikuarantin.


Pengarang :