Orang awam berjalan melintasi Johor dan Singapura ketika kedua-dua negara memperketatkan kemasukan ke negara masing-masing ekoran Covid-19 pada 1 April 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Covid-19: Singapura catat 334 kes baharu, keseluruhan 3,252

SINGAPURA, 14 APRIL: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) hari ini melaporkan tambahan 334 kes baharu jangkitan COVID-19 di republik itu, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah 3,252.

Menurut Pengarah Perkhidmatan Perubatan MOH Profesor Madya Kenneth Mak, kes baharu itu menyaksikan tiada kes import manakala 189 mempunyai kaitan dengan beberapa kluster yang telah dinamakan, 23 dikaitkan dengan kes tempatan lain dan 122 tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kluster setakat ini.

“Bagaimanapun, 122 kes ini tidak membayangkan penularan sumber yang tidak diketahui. Jumlah ini akan berkurangan secara progresif dan kami akan mengaitkan mereka dengan kluster sedia ada, iaitu yang membabitkan asrama pekerja asing atau sebaliknya,” kata Mak pada taklimat teknikal secara maya Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian COVID-19 dan sidang akhbar di sini.

Mak berkata 98 orang daripada mereka adalah pemegang pas pelawat jangka panjang dan kebanyakannya tidak mempunyai kaitan dengan asrama pekerja terbabit manakala 24 merupakan Warganegara Singapura atau Penduduk Tetap.

“Mereka yang dikaitkan dengan kluster yang telah dinamakan setakat ini hanya dua orang iaitu Warganegara Singapura dan PR. Selebihnya adalah pemegang pas pelawat jangka panjang. Mereka sudah dikaitkan dengan kluster yang telah dinamakan dan kebanyakannya tinggal di asrama pekerja,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :