Setiausaha Mais Dr Ahmad Shahir Makhtar (empat kiri) menyerahkan kotak bantuan makanan asas kepada Pegawai Daerah dan Tanah Hulu Langat Yusri Zakariah (tiga kiri) untuk diagihkan kepada penduduk di Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui pada 14 April 2020. Foto ihsan Yide
AGENSISELANGOR

Yide sumbang lebih 300 kotak makanan bantu penduduk Sungai Lui

HULU LANGAT, 14 APRIL: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) mengagihkan kira-kira 389 kotak bantuan makanan asas kepada penduduk di Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui di sini yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kata pengurus besarnya.

Nur Mohd Razali berkata daripada jumlah itu, 100 kotak makanan disalurkan kepada Maahad Tahfiz Sungai Lui manakala 20 kotak Maahad Tahfiz Lembah Pengsun.

Katanya sumbangan makanan asas itu melibatkan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras) melalui agensi penguatkuasa di sini.

“Terdapat keperluan membantu penduduk di kawasan ini sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan dan diharap ia sedikit sebanyak meringankan beban mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penyerahan sumbangan disertai Pegawai Daerah dan Tanah Hulu Langat Yusri Zakariah; Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Kajang Muhd Hanafi Jalaluddin; Setiausaha Mais Dr Ahmad Shahir Makhtar dan Pengurus Besar Teras Mohd Hasnul Redza Abdul Rahim.

Mohd Razali berkata agihan itu adalah hasil daripada sumbangan Tabung Prihatin Covid-19 Mais yang diwujudkan pada 20 Mac lalu.

Beliau turut mempelawa penyumbang untuk menyalurkan bantuan Tabung Prihatin Covid-19 Mais terus ke http://fpx.mais.gov.my/epay/sedekah.php atau pindahan wang ke nombor akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) (12038010134961) atas nama Majlis Agama Islam Selangor. (Nyatakan:Tabung sumbangan Covid19).


Pengarang :